nuffnang header

Sunday, 9 October 2011

Isi Atau Bekas?

Cuba bayangkan apabila anda sedang kehausan dan cuaca pula panas terik tatkala mentari galak membakar dirinya. Sungguh menyeksakan, betul? Jadi apa yang sangat diperlukan kini adalah air! Ya, sumber air bagi menghilangkan dahaga dan menyejukkan badan. Tetapi apabila air itu ditemui, anda terasa ragu-ragu pula untuk meminumnya... Mengapa?

Kerana ia adalah air di dalam bekas yang berdebu!

Meskipun bekas tersebut kelihatan kotor dan berdebu, air di dalamnya masih kelihatan jernih serta selamat untuk di minum. Mengapa perlu ragu-ragu? Lumrah manusia memang memerhatikan luaran sesuatu benda yang menghalang tujuan utama (menghilangkan dahaga) dilaksanakan. Hanya kerana disebabkan mata anda telah terlihat kekotoran yang zahir terpancar pada bekas itu, air yang suci di dalamnya tidak anda hiraukan. Hal ini sangatlah menyedihkan kerana akal pemikiran kita dikuasai & dikaburi oleh penglihatan kita. Sikap sebegini amat merugikan kita.

Bagaimana pula jika kita tukarkan air itu kepada ilmu dan bekas itu kepada guru? Adakah sikap kita terhadap situasi kini berubal atau kekal seadanya?

Sebagai seorang pelajar, kita tidak lari dari isu atau masalah berhadapan dengan guru yang mengajar kita tidak kira apa subjek matapelajaran sekalipun. Hakikatnya, kadangkala rasa benci itu membuak terhadap sesetengah guru yang hidupnya umpama sebatang lilin yang membakar dirinya untuk menerangi hidup kita. Mengapa begini? Ini adalah kerana mungkin sikap atau tabiat guru itu berbeza daripada apa yang biasanya kita terima dalam masyarakat. Mungkin guru itu pelik tetapi ilmu yang terkandung di dalam dadanya itu cukup bernilai untuk dikongsi bersama kita. Bukankah menuntut ilmu itu tugas utama kita sebagai seorang pelajar? Jikalau jawapannya ya, maka tidak perlulah kita melayan guru kita dengan teruk atau acuh tak acuh kerana kelak kitalah yang akan tergolong dalam golongan manusia yang kerugian.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment