Sini suatu tempat istimewa
Ada suka ada duka
Satu orang sepuluh muka
Dengan hormat aku bertanya
Engkau siapa?
Peliknya rupa
Matlamatmu apa?
Diam-diam ubi berisi
Semua persoalan ditolak tepi
Buang yang keruh ambil yang jernih
Kalau hebat usah berdalih
Alang kepalang lintang pukang
Tidak tersangka aral melintang
Kewujudanmu senantiasa diselebungi bayang
Adakah syaitan menjadi dalang?
Tersimpul tali, terikat lidah
Salah sangka justeru terhentilah madah
Bersua muka tetapi terlupa nama
Senyuman pun tidak lagi bermakna
Badan bagaikan boneka
Emosi palsu belaka
Engkau sememangnya tidak sempurna
Persis dusta ibu kota
Minda mula bercelaru
Jiwa semakin serabut
Otak pula mejadi buntu
Pada apa engkau berpaut?
Muka diconteng arang, aku dimalukan
Dijadikan pula sebagai batu loncatan
Untuk menggapai cita-cita dan impian
Tipu helah sanggup kau gunakan
Pakar pembelit cerita
Mulut rakyat bersuara terbuka
Di tengah ibu kota dusta
Engkau dipuja bagaikan idola
Ibarat garam bercampur cuka
Mengapa perlu bermasam muka?
Ragammu terkenal seluruh dunia
Namun peribadimu sehina paria
Kisah lama usah diungkit
Itu namanya mencari penyakit
Kerana mulut badan yang sakit
Kerana kau, orang lain terbabit
Kesetiaan wujud berlandaskan percaya
Hubungan kukuh tanpa derita
Mengapa perlu rosakkan semua
Hasad dengki pemusnah segala...
No comments:
Post a Comment